Khutbah Terakhir Rosullulah S.A.W.
394 tahun yang
lalu (menurut perhitungan kalender Masehi) atau 1417 tahun yang lalu (menurut
perhitungan kalender
Hijriyah), ketika Rasulullah
SAW mengerjakan
ibadah haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah,
Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum
Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak
kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua
selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
“1Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan
ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim
sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak
menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan
kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah
telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan
mulai sekarang.
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan
agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya
dalam perkara-perkara kecil.
“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas
isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka
menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan
dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam
rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji
sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada
Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia
dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada
suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu
kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang
akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan
fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan
mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah
Al-Qur’an dan Sunnahku.
“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku,
menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus
mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan
risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.“







0 komentar:
Posting Komentar